Monday, April 20, 2009

MITI jamin dasar 3 agensi kekal

Peruntukan, program tetap diteruskan walaupun kerajaan bubar MeCD

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memberi jaminan, dasar dan peruntukan tiga agensi yang diserap daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang dibubarkan tidak akan terjejas.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Bank SME diperkukuhkan lagi demi mencapai matlamat dan sasaran kerajaan.

"Bajet yang sudah diluluskan untuk tiga agensi itu kekal.

"Begitu juga pelaksanaan program dan perjawatan tetap sama walaupun di bawah kementerian baru, fungsi dan peranannya tetap sama.

"Tidak timbul isu yang mendakwa peranan tiga agensi terbabit akan terhapus, sebaliknya ia cuma dipindahkan ke Miti, jadi tidak perlu bimbang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan, di sini semalam.

Selain Miti, fungsi dan agensi di bawah MeCD akan diserap ke tujuh kementerian lain dan terus diberi penekanan oleh kerajaan.

Sementara itu, Mustapa menegaskan, beliau sedia melakukan perubahan drastik terhadap dasar serta program kementeriannya bagi disesuaikan dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi lembap ketika ini, kementeriannya perlu berani membuat perubahan termasuk memperkenalkan pendekatan baru sejajar saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat hasil dan bukan pelaksanaan semata-mata.

Katanya, sebagai permulaan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) akan disusun semula bagi menggalakkan perkembangan pelaburan dalam negara, khususnya menangani kesan krisis kewangan dan ekonomi global terhadap industri berkenaan.

Ditanya sama ada dasar sedia ada seperti pengeluaran permit import (AP) akan diteruskan, Mustapa berkata, beliau memerlukan masa kerana perlu mendengar taklimat mengenai isu berkenaan daripada pegawainya di Miti.

Beliau berkata, bagi memastikan peranan Miti lebih berkesan, dua timbalannya turut diberikan tugas khusus termasuk mengadakan rundingan dan promosi di luar negara selain memberi tumpuan terhadap pelaburan domestik.

"Saya tidak mahu tumpuan hanya diberikan kepada promosi dan rundingan dengan pelabur luar semata-mata kerana agenda domestik turut penting dan berperanan besar kepada perkembangan ekonomi negara," katanya.

Sumber: Berita Harian Online ~ Isnin, 20 April 2009

No comments:

Post a Comment