Thursday, October 29, 2009

Kem Kecermelangan Kendiri PUM 2009

Sebelum menutup tirai program usahawan muda tahun ini, PKENPs telah mengadakan kem kecermelangan untuk barisan kepimpinan PUM pada 16-18 Oktober 2009 baru-baru ini bertempat di Tasoh Lake Resort, Perlis. Seramai 108 orang pelajar sekolah menengah seluruh negeri Perlis yang terdiri daripada 51 orang lelaki dan 57 perempuan telah mengikuti program ini. Para peserta telah didedahkan dengan beberapa kegiatan lasak yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Sudah tentu rintangan dan halangan yang dihadapi memerlukan kerjasama dan kesabaran di kalangan rakan sepasukan. Disinilah peserta diuji sejauh mana boleh bekerjasama dan berkebolehan memimpin rakan sepasukan yang mempunyai berlainan personaliti. Begitulah juga semasa berhadapan karenah rakan-rakan dalam satu syarikat di sekolah masing-masing. Mesti boleh berlapang dada dan berbincang. Memang mencabar dan menguji kesabaran. Itulah pun syarat untuk berjaya mesti banyak bersabar, rajin berusaha, berkerjasama, saling bantu membantu, menghormati pemimpin, taat dan setia, bertawakal barulah misi pasukan masing-masing tercapai dengan berjaya. Mana ada jalan pintas untuk berjaya tanpa ada usaha. Walaupun letih tapi berbaloi.
Tengoklah saja apa yang dikongsikan bersama oleh usahawan-usahawan yang telah berjaya dengan para peserta. Tidak semudah seperti yang disangka, untuk menempah kejayaan di dalam perniagaan yang mereka jalankan. Terpaksa bermula dari kecil dan berkembang barulah dapat mengecapi kejayaan yang diimpi-impikan.
Kedudukan resort secara amnya adalah menarik dan mengashikkan. Keindahan tasiknya sungguh menawan. Cuma kawasan diadakan kem kali ini, para peserta terpaksa tinggal di dalam kemah. Memandangkan resort ini baru saja memulakan operasi, memanglah banyak kekurangan dan kelemahannya. Tak syok sikit-sikit tu biasalah. Mungkin dimasa akan datang resort akan lebih bersedia dan tersusun lancar semua aktiviti.
Untuk gambar penuh klik pada Galeri Gambar sebelah kanan.