Friday, April 16, 2010

Kursus Ahli Lembaga Pengarah PUM & TOT Untuk Guru Pembimbing Perlis 2010

Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perlis telah menganjurkan kursus ahli lembaga pengarah program usahawan muda serentak dengan kursus "Training of Trainers" (TOT) untuk guru pembimbing PUM & PPU di Hotel Langkasuka, Langkawi pada 9 hingga 11 April 2010 yang lepas.
Kehadiran peserta kursus ahli lembaga pengarah PUM kali ini amat baik. Kira-kira 134 orang peserta terdiri daripada 43 pelajar lelaki dan 91 perempuan dari 25 buah sekolah menengah di Perlis telah mengikuti kursus dua hari ini. Peserta merupakan ahli lembaga pengarah syarikat program usahawan muda di sekolah masing-masing. Program ini telah memberi kefahaman kepada peserta terhadap berbagai aspek teori dan amali mengenai pengurusan, pemasaran, kewangan dan operasi syarikat berpandukan modul Program Usahawan Muda. Sekembali dari kursus ini para pemimpin syarikat PUM ini diharap dapat mengembangkan pengetahuan yang diperolehi kepada ahli-ahli PUM yang lain disamping menjalankan operasi perniagaan secara lebih aktif dan efektif.
Kursus Kejurulatihan (TOT) kepada guru-guru pembimbing juga telah mendapat sambutan yang memuaskan. Seramai 36 orang guru hadir terdiri daripada 26 guru pembimbing Program Usahawan Muda dan 10 orang guru Program Printis Usahawan. Penglibatan yang baik ini menunjukkan guru-guru pembimbing amat komited di dalam memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada pelajar di sekolah masing-masing. Dengan latihan yang diberikan para guru mampu membimbing dan memantau operasi perniagaan syarikat PUM dengan berkesan. Pimpinan dan tunjukajar mereka akan mencetuskan minat dan cita-cita dikalangan para pelajar ahli Program Usahawan Muda untuk menjadi usahawan sebagai kerjaya pilihan apabila meninggalkan sekolah nanti. Budaya keusahawanan yang diterapkan ini sudah tentu akan melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya suatu hari nanti.