Monday, May 4, 2009

Musim harumanis tiba lagi

KANGAR 3 Mei - Penggemar mempelam harumanis kini boleh menikmati kelazatan buah tersebut apabila ia mula dipetik di kebanyakan ladang di negeri ini termasuk di pusat penanaman utamanya di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat.

Produk kebanggaan Perlis itu, sering dinanti kerana kelazatannya mampu menyaingi buah mangga dari negara jiran.

Malah harumanis dari Perlis juga sudah berjaya menembusi pasaran di Jepun walaupun dijual dengan harga RM100 sekilogram.

Tahun ini, petugas Jabatan Pertanian di pusat tersebut dikerah 'turun padang' lebih awal kerana cuaca panas yang panjang telah merangsang pokok harumanis mengeluarkan hasil matang lebih awal berbanding lazimnya Mei hingga Jun.

Pengarah Pertanian Perlis, Abdul Razak Shafiai ketika ditemui baru-baru ini, kelihatan begitu gembira dengan produk harumanis yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Bukit Bintang itu.

Beliau gembira bukan kerana ladang jabatan tersebut mengeluarkan buah yang lebat, tetapi ladang persendirian di seluruh Perlis juga akan memberikan pulangan lumayan kepada para pemiliknya.

''Ladang tersebut dijangka mengeluarkan 120 tan harumanis bernilai RM720,000 pada tahun ini,'' katanya.

Sehingga 20 April lalu, katanya, ladang berskala besar itu sudah mengeluarkan 17 tan buah harumanis atau kira-kira 50,000 biji buah yang sudah dituai.

''Kini kami menuai baki kira-kira 100 tan lagi, ini bermakna ladang berkenaan boleh mengeluarkan hasil 120 tan pada tahun ini.

''Kali ini ia melonjak tinggi berbanding cuma 60 tan pada tahun lalu," ujarnya.

Jabatan itu kini memiliki ladang harumanis terbesar di Malaysia iaitu di atas kawasan seluas 64.6 hektar.

Di Pusat Pertanian Bukit Bintang itu, harumanis dijual RM8 sekilogram bagi gred A iaitu yang saiznya antara 450-650 gram sebiji, RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Jangan tersilap beli no....!!!

Sumber: Utusan Online ~ 4 Mei 2009


No comments:

Post a Comment