Sunday, May 10, 2009

Elakkan Dari Hati Sakit

Tiada siapa yang suka dan mahu disakiti baik fizikal mahupun rohaninya. Hanya mereka yang sakit sahaja gemar dan gembira melihat orang lain disakiti atau menyakitkan hati orang. Hindarilah perbuatan yang tidak memberi faedah ini. Cuba sama-sama kita berbincang selaku orang yang telah matang dan bertamadun. Tiada salahnya untuk menegur, tetapi bukanlah sampai merendah-rendahkan orang lain atau menghina. Itu bukan cara kita, bukankah orang melayu dikenali bersopan santun. Sudah lupakah apa yang ditunjuk ajar oleh tuan-tuan guru, ustaz-ustaz dan ibu serta ayah kita. Rugilah kita kalau pun menang sorak, tapi menanggung dosa. Cubalah didik hati kita untuk menerima apa yang di tentukan Ilahi.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati boleh baik dan jahat.
* Rasa senang apabila ia dipuji.
* Rasa menderita apabila di keji.
* Rasa riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan.
* Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan.
* Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan.
* Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekayaan.
* Rasa tidak senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih.
* Rasa dendam apabila orang menganiayainya.
* Simpati dengan orang susah.
* Rasa keluh kesah apabila dapat susah.
* Rasa terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong.
* Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.
* Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.

Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia. Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia. Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya. Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia. Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati. Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat dunia dan akhirat. Hati boleh dididik.

Lihat apa kata Allah tentang hati.

Firman Allah:

"Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya." (Asy - Syams: 9)
"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang." (Al - Ala: 14 - 15)

"Pada hari itu, tidak berguna lagi harta anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat." (Asy - Syuara: 88-89)

Di antara Sebab Jiwa Tidak Tenang
1. Banyak menzalimi orang
2. Banyak membuat dosa
3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa
4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan Akhirat
5. Tidak percaya wujudnya Allah Taala
6. Tidak mengharap lagi pertolongan Allah
7. Orang yang kena uji bila imannya lemah atau tidak beriman

Ketenangan itu berpusat atau berpaksi di dalam hati nurani. Ia perlu dijaga, kerana bila hilang ketenangan, hilanglah kebahagiaan. Bila hilang kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, duduk di dalam istana yang indah, memiliki isteri yang cantik, ada kuasa.

Bila ketenangan tidak ada, sentiasa keluh-kesah, apa sahaja dibuat serba tidak kena, makan rasa tidak sedap, tidur tidak lena, membuat sesuatu perkara tidak ada penumpuan lagi, selalu sahaja termenung, orang bercakap kurang diambil perhatian, sumbang di dalam pergaulan, membaca mengganggu untuk memahami, kawan-kawan ikut risau, mudah marah-marah, suka bersendiri, mudah merajuk, mudah tersinggung, tidak tahan sabar, tidak tahan tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab, tidak suka bercakap.
Orang yang berada di dalam tidak ketenangan, jika ketidaktenangan itu kuat dan kurang pula pelajaran selalunya tidak boleh dikontrol rasa tidak tenang itu, sama ada di waktu ramai mahupun di waktu keseorangan, sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara, orang ramai perasan.

Jika dia seorang cerdik dan pandai atau ada status di dalam masyarakat mungkin setengah orang dia boleh kontrol. Di tengah ramai dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tapi bila waktu keseorangan dia mulalah termenung. Kesusahan hatinya nampak dilihat di air mukanya. Ada setengah orang mukanya cantik, orangnya periang, happy go lucky, ada kalanya susah juga dikesan. Tapi kalau dia tidak boleh kontrol, lihat muka dapat dikesan. Maka seorang yang periang tiba-tiba jadi pendiam, hilang riang, suka bersendiri, gurauan sudah tidak ada, anak isteri mula risau, kawan-kawan susah hati.
Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, keluar daripada menzalimi dan memohon maaf kepada orang yang kita zalimi itu. Tinggalkan membuat dosa kemudian kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. Insya-Allah ketidaktenangan akan hilang.

Ingatan buat saya, sebagaimana ibu pernah menasihati saya suatu masa dulu!
SALAM KASIH SAYANG & RINDU BUAT eMAK!!!
Selamat Hari Ibu Untuk Semua Ibu-ibu dimana sahaja.

Sumber: Minda


2 comments:

  1. salam ya abi..
    hmm...menarik pos kali ini..
    kak pun tengah baca buku ubat hati nih...
    huhu..hati memang mudah sakit tapi sebenarnya mudah jugak dirawat..
    sabda Rasulullah SAW
    "Jauhilah segala yang haram nescaya kamu menjadi orang yang paling khusyuk beribadah. Redhala dengan pembahagian rezki Allah kepadamu nescaya kamu menjadi orang paling kaya. berperilaku baiklah dengan jiran, nescaya kamu termasuk orang mukmin. cintailah orang lain pada hal-hal yang kamu cintai bagi dirimu sendiri, nescaya kamu tergolong orang muslim dan janganlah terlalu banyak tertawa, kerana banyak ketawa itu mematikan hati"
    juz a simple sharing from me to you n to all da reader..
    abuya..baguih kalo banyak lg artikel tarbiah kn..hehe

    ReplyDelete
  2. Terima kasih diatas ingat-ingatan.

    Dari yang banyak berdosa
    aBuya

    ReplyDelete