Thursday, March 19, 2009

Konvensyen Usahawan Muda 2009

KANGAR 17 Mac - Perlis akan menjadi tuan rumah Konvensyen Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2009 yang akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Pengurus Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Dr. Amar Hassan berkata, dalam konvokesyen itu dianggarkan hampir 1,000 usahawan muda peringkat sekolah akan diberi pengiktirafan.

Katanya, konvensyen itu bertujuan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di tingkatan dua dan empat di seluruh negara.

''Kini terdapat kira-kira 598 buah sekolah di seluruh negara yang terlibat dalam program ini.

''Melalui program itu para pelajar setiap sekolah akan dibimbing membuka syarikat dan menjalankan perniagaan dalam tempoh sembilan bulan dalam pelbagai bidang.

''Program ini berjaya meningkatkan minat pelajar dalam bidang keusahawanan apabila ada sekolah yang mencatat pendapatan sehingga RM40,000 dalam tempoh tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat berhubung program berkenaan di Kuala Sungai Baru di sini malam tadi.

Sumber: Utusan Malaysia Online ~ 18/03/2009

No comments:

Post a Comment