Monday, March 23, 2009

Boleh berniaga dari sekolah

KANGAR - Pelajar kini boleh menjalankan perniagaan secara berkumpulan di sekolah bagi memperoleh keuntungan lumayan melalui Program Usahawan Muda.

Pengerusi Kelab Usahawan Perlis Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Dr Ammar Hassan, berkata, sekitar 30 pelajar dapat menubuhkan syarikat milik bersama di sekolah masing-masing dan menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan perniagaan.

Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak tujuh sekolah di Perlis terlibat dalam program itu dan kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan Dua dan Empat.

“Semua mereka dididik seperti menguruskan perniagaan sebenar, pemegang saham dalam syarikat, menjana perniagaan, dan melaksanakan perniagaan.

“Dalam tempoh sembilan bulan, mereka menguruskan perniagaan melibatkan pelbagai sektor seperti makanan, perkhidmatan dan ICT,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, PKENPs adalah sekretariat pelaksana program, sementara Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai urusetia dalam program terbabit.

Kata Ammar, dengan pelaksanaan program tersebut ia sebenarnya dapat memperkukuhkan budaya berniaga dalam kalangan pelajar selain dapat memberikan keseda- ran kepada mereka berkaitan dunia keusahawanan.

“Jika dahulu, pelajar lepasan sekolah hanya mahu bekerja makan gaji tanpa memikirkan inisiatif untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Namun, dengan perlaksanaan program sebegini, ia memberikan impak besar berikutan terdapat ramai pelajar yang pernah mengikuti program ini di sekolah dapat mempraktikkannya apabila mereka mula berniaga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Utara)

2 comments:

  1. assalammualaikum,

    Apa benda yang hendak dibisneskan itu ? Kalau ok boleh juga.
    Thanks

    ReplyDelete
  2. ..... dimana ada peluang, disitu perniagaan ...cikgu!

    ReplyDelete