Wednesday, July 7, 2010

Peraturan Pertandingan Persembahan ~ Konvensyen PUM 2010

Peruntukan Masa

1. Setiap kontinjen diberi masa 5 minit + 17 minit untuk membuat persembahan iaitu :

i. 5 minit untuk persediaan pentas dan peralatan; dan

ii. 17 minit untuk membuat persembahan ucapan.

2. Setelah kontinjen tamat membuat persembahan terdapat sesi jawab daripada Panel Penilai. Masa yang diperuntukan untuk sesi soal jawab ini adalah selama 5 minit sahaja.

Penentuan Masa dan Tatacara Pergerakan

3. Kontinjen pertama yang membuat persembahan perlu berada di belakang garisan berhampiran anak tangga sebelah kiri pentas.

4. Pengiraan masa bagi 5 minit pertama bermula apabila pengacara selesai menjemput kontinjen tersebut untuk membuat persembahan.

5. Tempoh 5 minit pertama diberikan untuk membolehkan kontinjen tersebut membuat susun atur dan memasang peralatan teknikal.

6. Setelah tempoh 5 minit tersebut berakhir, loceng akan dibunyikan sekali sebagai tanda bermulanya tempoh 17 minit persembahan ucapan.

7. Sekiranya kontinjen tersebut mampu menyiapkan kerja susun atur dan pemasangan peralatan dalam tempoh kurang dari 5 minit, ketua persembahan perlu memberikan isyarat kepada penjaga masa untuk membunyikan loceng sekali sebagai tanda bermulanya 17 minit persembahan ucapan.

8. Loceng tanda permulaan tempoh 17 minit untuk persembahan akan tetap dibunyikan selepas 5 minit yang pertama walaupun kontinjen tersebut masih belum menyempurnakan kerja susun atur dan pemasangan peralatan teknikal. Ini bermakna kontinjen tersebut telah mengorbankan masa untuk persembahan ucapan.

9. Setelah 15 minit persembahan ucapan, loceng akan dibunyikan sekali bagi memperingatkan kontinjen tersebut bahawa mereka mempunyai baki masa sebanyak 2 minit.

10. Serentak dengan bunyi loceng di Perkara 8, kontinjen kedua hendaklah keluar dan berada di luar pintu sebelah kiri dewan untuk bersedia mengambil giliran.

11. Setelah cukup masa 17 minit persembahan ucapan kontinjen pertama, loceng akan dibunyikan sebanyak dua kali bagi menandakan masa telah tamat. Tiada markah pengadilan akan diberikan selepas tempoh tersebut.

12. Sekiranya persembahan masih diteruskan selepas tamat tempoh, pengacara / urus setia berkuasa mengarahkan kontinjen meninggalkan pentas.

13. Selepas tamat tempoh masa persembahan, kontinjen pertama perlu menyusun semula peralatan yang disediakan oleh urus setia pada kedudukan asal. Kontinjen yang selesai membuat persembahan akan meninggalkan pentas dengan membawa semua peralatan sendiri keluar melalui pintu sebelah kanan dewan.

14. Serentak dengan pergerakan keluar kontinjen pertama seperti di Perkara 12, kontinjen kedua perlu bergerak dan berada di belakang garisan berhampiran anak tangga sebelah kiri pentas.

15. Seterusnya kontinjen kedua akan melalui tatacara seperti yang dialami oleh kontinjen pertama iaitu bermula dari Perkara 3 hingga Perkara 12.

16. Tatacara yang sama akan dilalui seterusnya oleh kontinjen ketiga hinggalah kontinjen yang terakhir.

Peraturan Semasa Persembahan

17. Maksimum hanya 5 peserta yang terdiri dari pengurus-pengurus syarikat bagi setiap kontinjen dibenarkan untuk membuat persembahan di atas pentas.

18. Hanya kalangan pelajar sahaja dibenarkan mengendalikan persediaan peralatan teknikal dan persembahan. Walaubagaimanapun ketua kontinjen hendaklah memastikan mereka yang berada di peralatan tersebut hanya yang benar-benar perlu bagi menjalankan tugas yang berkenaan.

19. Urus setia menyediakan meja, kerusi, rostrum dan pembesar suara di atas pentas. Kontinjen perlu menyusun peralatan tersebut mengikut keperluan masing-masing.

20. Kawasan meja Panel Penilai adalah merupakan kawasan larangan semasa sesi pertandingan dan tiada mana-mana peserta atau guru dibenarkan menghampiri kawasan tersebut.

Masalah Pada Alat Persembahan

21. Sekiranya berlaku masalah pada alat persembahan iaitu komputer, perisian dan projektor yang tidak memungkinkan persembahan dimulakan, kontinjen hendaklah segera memaklumkan kepada urusetia untuk pertimbangan penangguhan persembahan sebelum tempoh 5 minit pertama berakhir.

22. Andainya masalah pada alat persembahan berlaku semasa persembahan telah dimulakan, kontinjen tersebut hendaklah meneruskan persembahan dan tiada permohonan penangguhan akan dilayan.

23. Mana-mana kontinjen yang diterima penangguhannya seperti di Perkara 21 akan dibenarkan membuat persembahan setelah giliran persembahan kontinjen terakhir selesai.

24. Jika terdapat dua atau lebih kontinjen yang ditangguhkan persembahannya, maka giliran persembahan antara mereka adalah mengikut kedudukan terdahulu dalam susunan giliran asal.

Panel Penilai

25. Panel Penilai adalah terdiri daripada wakil-wakil dari agensi yang telah dilantik oleh Kementerian.

26. Soalan yang dikemukakan oleh Panel Penilai kepada para peserta pertandingan persembahan adalah soalan secara spontan sahaja.

27. Panel Penilai diminta menyerahkan kertas markah penilaian kepada urus setia setiap kali sebelum meninggalkan meja untuk sesi minum pagi, makan tengah hari dan tamat persembahan keseluruhan.

Kuasa Urus Setia

28. Sekiranya timbul keraguan atau pertelingkahan dari segi perjalanan pertandingan, Ketua Urus Setia Pertandingan mempunyai hak untuk membuat keputusan. Keputusan yang dibuat adalah muktamad.

No comments:

Post a Comment