Monday, June 29, 2009

Raja Muda Perlis mahu bumiputera bina semula tamadun

KANGAR 29 Jun — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahukan supaya kaum Bumiputera membina semula tamadun cemerlang dalam bidang perniagaan melalui pelbagai peluang yang disalurkan oleh kerajaan.

Menurut baginda kegemilangan tamadun Melayu semasa zaman kesultanan Melaka menyaksikan Melaka berjaya menjadi pusat perdagangan di rantau ini namun kegemilangan itu runtuh selepas dijajah.

Berucap menutup konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) kebangsaan kali ke-13 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh dekat sini malam tadi, baginda berharap kegemilangan itu dapat dikembalikan.

Sehubungan itu baginda berharap usahawan Bumiputera meningkatkan diri mereka ke taraf dunia supaya mereka tidak tewas kepada cabaran globalisasi.

Titah baginda kegiatan mereka tidak seharusnya bertumpu di dalam negara semata-mata, sebaliknya ia boleh dikembangkan ke negara-negara lain terutama di rantau Asean.

Terdahulu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir dalam ucapannya berharap para pelajar yang menyertai PUM akan membantu menjayakan pembentukan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Katanya program pembudayaan keusahawanan kepada para pelajar sekolah rendah dan PUM buat sekolah menengah serta program keusahawanan siswa yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada langkah pembentukan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Setakat ini program perintis usahawan dilaksanakan di 218 buah sekolah rendah di seluruh negara manakaka PUM dilaksanakan di 658 buah sekolah menengah dan program keusahawanan siswa dilaksanakan di 24 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Konvensyen PUM anjuran Institut Keusahawan Negara (INSKEN) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang membabitkan penyertaan 600 pelajar itu berlangsung selama empat hari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment